Gambar Hari Raya Pertama

Diposting oleh Unknown on Rabu, 30 September 2009



Kaswari dan SisLin beraya sama
Cik Mat hidangkan kuih bersira
Gambar pada hari raya pertama
Suasana meriah riang gembira

Umie bersama anak-anak

Hari raya pertama kami sempat merakamkan gambar keluarga sebelum anak-anak ke rumah Opah mereka. Selepas beraya bersama Opah mereka, kami berangkat menuju ke rumah bapa saudara ayah yang satu-satunya turut beraya di 'ibu kota'. Pulang dari rumah bapa saudara ayah kami menuju ke rumah kawan ayah - Pyan Habib kerana Pak Pyan mahu ayah ke rumahnya juga.


Bersama Pak Pyan & isteri

Pertama kali 'tidak beraya' bersama 'ahli keluarga besar' di kampung halaman ternyata memberi pengalaman baru. Kebetulan 'adik angkat' umie beraya bersama kami. Maka suasana tetap meriah dengan persiapan rendang, nasi impit, lodeh, pulut kuning, sambal udang dan beberapa lagi juadah yang dihidangkan membuatkan kami tidak rasa kekurangan sangat pada hari pertama lebaran tahun ini :)


Bersama adik angkat umie

Anak-anak bersama auntie Zurin mereka

Pada hari raya tahun ini, kami berhari-raya dengan kucing-kucing kami dan mereka semua berpakaian warna sendondon. Malangnya kami tidak dapat bergambar bersama mereka dalam satu masa kerana masing-masing membuat hal sendiri. Envy dapat kami rakamkan gambarnya semasa dia duduk berehat di atas kereta ayah. Kemudian kakak datang untuk bergambar bersama Envy dengan gayanya yang tersendiri :D

Envy dengan pakaian hari rayanya


Selain daripada Envy, Mahzuz juga dapat bergambar bersama kami kerana Mahzuz hanya duduk di dalam rumah. Dalam gambar di bawah ini, Mahzuz duduk sebelah Adik tetapi rupa Mahzuz kurang jelas kerana warna bulunya yang hitam dan balikan daripada cermin di sebelahnya.


Nampak Mahzuz tak?

Anak-anak umie :)
More about → Gambar Hari Raya Pertama

Tinggal kenangan

Diposting oleh Unknown on Minggu, 27 September 2009

Hari raya hari kita bersuka
Kuih muih jadikan hidangan
Anak kucing dijaga seketika
Kini hanya dalam kenangan


Sebelum hari raya, kawan Baby minta dijagakan anak kucing yang baru ditemui (sekitar usia seminggu) Pada mulanya umie agak keberatan kerana bukan mudah mengasuh anak kucing sekecil itu yang belum tahu menjilat susu. Oleh kerana kami beraya di sini dan kasihan melihatkan anak kucing itu, maka umie telah bersetuju.


Dia kami susukan dengan botol kecil yang dibeli di pet shop tetapi mulutnya yang terlalu kecil itu tidak dapat menyusu dari botol itu. Untuk menyusukannya umie terpaksa menggunakan syringe untuk memberikan susu, itupun dia mengisap jari sambil susu yang dipicit ke dalam mulutnya. Saat itu memang menyeronokkan...

Anak kucing yang belum diberi nama itu kami asuh dan bawa beraya bersama-sama. Semasa beraya di rumah kawan umie di Melaka, kawan umie telah menawarkan diri supaya anak kucing itu ditinggalkan bersamanya kerana kucingnya baru beranak dan boleh menyusukan anak kucing ini. Umie telah menghubungi kawan baby dan dia juga bersetuju.

Malang sekali selepas sehari-semalam ditinggalkan, kawan umie memberitahu anak kucing itu dalam keadaan tenat kerana dia suka merayap dan masuk ke dalam semak. Terasa sedih di hati menerima berita sedih dari kawan umie kerana selama beberapa hari diasuh, anak kucing itu kelihatan sihat dan aktif (memang suka merayap - dah pandai memanjat keluar dari kotak/bakul yang ditempatkannya. )


Terdetik kekesalan di dalam hati kerana menerima pelawan kawan umie dan meninggalkan anak kucing itu dengannya. Kemungkinan anak kucing itu masih hidup sekiranya dia kami asuh... Mungkin sudah itu takdirnya, dapat menikmati kehidupan ini hanya untuk seketika. Namun rasa sedih tetap menyelubingi diri...

Apa nak kata, sudah ajalnya...

More about → Tinggal kenangan

Selamat Ulang Tahun Ke-7 Buat Ulfat

Diposting oleh Unknown on Sabtu, 26 September 2009

Jamu tetamu dengan mee hun
Dihidangkan juga roti ikan tuna
Diucapkan selamat ulang tahun
Semoga besar jadi anak berguna


Seorang lagi anak saudara umie menyambut ulang tahun bersamaan suasana menyambut hari raya. Anak saudara umie ini tidak banyak kerenah. Umie buatkan kek dan deco simple sahaja untuknya dan dia menerimanya tanpa banyak bicara :D
Kek Coklat di atas belum sempat anak saudara umie 'memotong dan bergambar' dengannya, telah pun dipotong dan dijamu oleh sepupu-sepupunya yang lain (tidak perasan itu kek hari jadi untuknya). Memandangkan masih ada satu bekas lebih dan ada sedikit lagi icing, umie telah deco kan se-ala kadar untuknya bergambar.
Ternyata dia tidak kisah... dia bergambar seperti yang diarahkan... habis cerita... hehehehehe :D

More about → Selamat Ulang Tahun Ke-7 Buat Ulfat

Happy Birthday To Abrar

Diposting oleh Unknown on Kamis, 24 September 2009

Pergi ke pasar membeli ikan
Usah berlengah balik segera
Selamat hari lahir diucapkan
Moga hidup aman sejahtera

Anak saudara umie, Abrar atau Ifran menyambut ulang tahunnya yang ke-6. Dia inginkan kek yang besar dan lain daripada kek biasa. Memandangkan dia seorang budak lelaki yang aktif dan peminat lumba kereta dan seangkatan dengannya, maka umie buatkan kek ini untuknya.

Kebetulan pula hari lahirnya jatuh pada musim hari raya, walaupun tidak mengundang sesiapa untuk meraikan tetapi pada masa dia menyambutnya, suasana begitu meriah kerana kebetulan saudara-mara datang berkunjung.

Happy Birthday Abrar @ Irfan semoga membesar sebagai anak yang soleh...


More about → Happy Birthday To Abrar

Kunjungan Raya * Terima Kasih *

Diposting oleh Unknown on Rabu, 23 September 2009

Gambar umie ambil dari blog kasawari kerana umie lupa untuk ambil gambar ;)

Kasawari beli susu tin cap junjung
Buat teh tarik untuk minuman pagi
Terima kasih kerana berkungjung
Sekira sudi lain kali datanglah lagi

Pada hari raya ke-4 umie telah menerima kunjungan raya oleh rakan blogger iaitu Kasawari yang datang bersama isteri dan dua orang sepupu mereka. Terima kasih diucapkan kerana sudi berkunjung ke teratak kami.

Kedatangan mereka tidak dapat dijamu dengan hidangan yang istimewa, sekadar hidangan ala-kampung yang biasa kerana kebetulan pada hari itu umie berada di Nilai. Walau apapun umie tetap rasa gembira kerana ada yang sudi menziarah kami di hari raya ini.

Kepada Kawasari dan Linda, jangan serik untuk datang ke rumah kami lagi ya... Buat kawan-kawan yang lain, dipersilakan untuk berkunjung ke sini jika sudi :)


More about → Kunjungan Raya * Terima Kasih *

Ceria Berhari-Raya

Diposting oleh Unknown on Senin, 21 September 2009


Asah pisau kerana dah tumpul
Tidak lupa parang yang dibawa
Hari Raya semua berkumpul
Suasana ria bergelak ketawa

Sambutan hari raya pertama kami di Selangor dan kuala Lumpur, selepas itu kami semua beraya di Johor (Segamat), Melaka (beberapa daerah) dan Negeri Sembilan (Nilai, Kuala Pilah dan Port Dickson). Anak-anak kelihatan gembira berhari raya begitu walaupun agak penat dalam perjalanan dari satu tempat ke satu tempat.

Hari raya inilah merupakan hari yang dapat menemukan sanak-saudara yang jarang berjumpa. Suasana riuh rendah dengan pelbagai cerita dan gelak ketawa sudah menjadi lumrah bagi keluarga kami. Begitu juga dengan anak-anak, ada sahaja kegiatan mereka untuk menimbulkan keceriaan apabila berjumpa.

Semoga suasana akan terus gembira dan ceria buat kita semua :)

More about → Ceria Berhari-Raya

Satu Hari Di Hari Raya

Diposting oleh Unknown on Minggu, 20 September 2009


Kak Welly membeli delima
Ianya dibeli di Tanjung Ara
Hari raya sudah menjelma
Semoga semua bergembira

Seperti yang telah dicoretkan semalam, hari raya tahun ini, kami sekelurga memakai baju bertema kehijauan (tiap tahun tidak lepas daripada warna 'hijau') Tahun ini kami beraya di Bangi, maka sudah pasti mempunyai masa untuk melayan 'anak-anak bulu' umie beraya sama.

'Anak-anak bulu' umie memakai baju raya mereka dan sempat berposing untuk bergambar. Malangnya kami tidak dapat bergambar sekeluarga dengan kesemua kucing-kucing umie kerana seolah-olahnya agak 'jakun' dengan pakaian mereka. Hehehehehehe

'Anak-anak bulu' umie yang dudk diam selepas berpakaian hanyalah Envy, Mahzuz dan Xing Yun. Chiku dan Itni, tidak duduk diam, sekejap sahaja mereka sudah menghilangkan diri - bermain di luar rumah. Xing Yun pula sperti biasa akan menyorokan diri di dalan bilik Adik.

Semasa memakain baju, Chikulah yang paling payah - berkali-kali dipakaikan - sekejap sahaja dia dah tanggalkan. Kami pakaikan lagi, dia tanggalkan juga. Akhirnya kami biarkan sahaja dia dengan perangainya yang memang sukar dijangka.


Tahun ini walaupun kami tidak berhari-raya di kampung tetapi kami begitu gembira dapat beraya bersama-sama kucing-kucing kesayangan kami. malah mereka juga berpakaian sedondon sempena hari raya pertama :)




SELAMAT BERHARI-RAYA KEPADA SEMUA RAKAN DAN TAULAN. MOHON KEMAAFAN SEKIRANYA ADA KESILAPAN...


More about → Satu Hari Di Hari Raya